mari kita mengingatinya setiap saat kerana ia mendorong kita mengerjakan kebaikan
Di mana dan bila-bila masa sekalipun, ajal pasti akan menjemput setiap insan tanpa diundang, walaupun cuba bersembunyi atau melarikan diri ke dalam benteng tinggi yang kukuh.
Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: "Di mana juga kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (apabila sampai ajal) sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata : Ini adalah dari sisi Allah dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata: Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu. Katakanlah (wahai Muhammad saw): Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah. Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)? - (Surah an-Nisa, ayat 78)
Sehubungan itu, maka amat wajar bagi setiap Muslim merenungi diri, bermuhasabah dan seterusnya menyiapkan diri dengan bekalan sebelum menghadapi kematian dan sebelum menuju ke alam baqa.
Persiapan awal ini amat penting bagi setiap Muslim. Ini kerana peluang kehidupan di dunia ini bagi setiap insan hanya sekali. Tiada peluang kedua atau kesekian kalinya apabila seseorang Muslim melangkah ke alam barzakh.
Allah banyak merakamkan kisah penyesalan orang kafir musyrik pada alam barzakh dan akhirat, namun penyesalan mereka itu tiada gunanya lagi. Ini kerana mereka diberikan peringatan demi peringatan oleh nabi dan dai, namun tidak mendengar, memahami dan menghayatinya.
Contohnya, firman Allah bermaksud: "Dan (ingatlah) perihal hari orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata : Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?
"Wahai celakanya aku! Alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si polan itu menjadi sahabat karib!
"Sesungguhnya dia menyesatkan aku dari jalan peringatan (al-Quran) selepas ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya).
"Dan berkatalah Rasul : Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai." - (Surah al-Furqan, ayat 27-30).
Perlu diinsafi bahawa antara ciri Muslim yang paling bijaksana dan bertakwa kepada Allah ialah Muslim yang sentiasa bermuhasabah diri dan membuat persiapan bagi menghadapi kematian.
Sabda Rasulullah saw: "Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang paling lemah ialah orang yang terikutkan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah." (Riwayat Abu Daud)
Oleh itu, Rasulullah saw ada memberikan panduan berguna kepada umatnya yang dikasihi melalui hadisnya sebagai satu pedoman kepada setiap Muslim untuk membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam baqa.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah pahala segala amalannya melainkan pahala tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh kepada ibu bapanya." (Riwayat Muslim).
Jelas daripada mafhum hadis berkenaan bahawa ada tiga amalan utama yang seharusnya dilakukan setiap Muslim ketika hayatnya sebagai bekalan amal yang bakal dibawa sebelum menuju ke alam baqa.
Amalan pertama ialah amalan sedekah jariah atau menderma seluruh atau sebahagian hartanya pada jalan Allah. Ini adalah antara amalan kebajikan yang sangat dituntut oleh Islam kepada umatnya. Ini kerana Islam ingin mendidik umatnya agar menghiasi diri dengan sifat dermawan dan pemurah kepada sesama manusia, terutama fakir miskin dan orang kurang bernasib baik. Ditambah lagi bahawa Allah sendiri bersifat Maha Pemurah lagi Maha Dermawan. Allah berfirman maksudnya: "Dan belanjakan (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan agama Allah) dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil). Dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya." - (Surah al-Baqarah, ayat 195).
Perlu diinsafi bahawa menafkahkan harta pada jalan Allah bukan terhad kepada membelanjakannya ke dalam jihad dan perjuangan menegakkan Islam. Ia turut merangkumi berzakat, bersedekah, menderma, sedekah jariah, perbelanjaan kepada ahli keluarga dan kaum kerabat serta sumbangan kebajikan untuk maslahah umum.
Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: " Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad saw): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah?). Katakanlah : Apa juga harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan, maka berikanlah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah) apa juga yang kamu buat daripada jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya)." - (Surah al-Baqarah, ayat 215).
Amalan kedua ialah menimba ilmu sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi. Ini kerana Islam adalah addin yang mengimbangi di antara keperluan dunia dan akhirat.
Islam menggalakkan umatnya agar menuntut ilmu sebanyak mungkin dan oleh itu Allah mengangkat darjat orang berilmu berbanding dengan orang yang tidak berilmu.
Firman Allah maksudnya: "...Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat." - (Surah al-Mujadalah, ayat 11)
Hanya dengan ilmu, seseorang Muslim dapat memantapkan imannya kepada Allah, meningkatkan amal soleh kepada-Nya dan dapat mengikhlaskan niatnya hanya kepada Allah.
Rasulullah saw pernah menyentuh mengenai kelebihan ilmu melalui hadisnya yang bermaksud: "Tuntutlah ilmu kerana amalan menuntut ilmu akan menghampirkan dirimu kepada Allah, mengajarkan ilmu kepada orang lain adalah satu amalan sedekah. Sesungguhnya ilmu itu akan mengangkat seseorang ke darjat kemuliaan dan kebijaksanaan. Ilmu itu juga akan menjadi perhiasan indah orang berilmu di dunia dan akhirat." (Riwayat Al Rabie)
Akhirnya, amalan ketiga yang pahalanya berterusan kepada si mati ialah doa seorang anak soleh kepadanya selepas meninggal. Alangkah beruntungnya orang tua yang mampu mendidik anaknya sehingga menjadi anak soleh dan taat kepada Allah.
Pada masa sama, anak juga diasuh agar menjadi generasi harapan yang akan menyumbang bakti berguna kepada agama, bangsa dan negara tercinta. Inilah antara ciri anak soleh yang diasuh dengan asuhan spiritual dan kebendaan yang mana doanya nanti amat bernilai kepada orang tuanya.
Dalam erti kata lain, anak soleh adalah harta pelaburan jangka panjang yang amat berharga kepada orang tua apabila mereka meninggal dunia kelak.
Oleh itu, ibu bapa hendaklah mengajar anaknya agar selalu berdoa dengan doa yang bermaksud: "...Wahai Tuhanku ! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku ketika kecil." - (Surah al-Isra, ayat 24)
Dalam hal ini, Rasulullah saw ada bersabda maksudnya: "Orang yang mati dalam kuburnya adalah seperti seorang yang sedang kelemasan meminta pertolongan. Dia sedang menunggu hingga sampai kepadanya rahmat sesuatu doa daripada anaknya, saudaranya atau sahabat handainya." (Riwayat Al Dailami)
Apabila rahmat doa itu sampai kepadanya, alangkah suka dan gembiranya serta dirasai rahmat itu lebih berharga daripada dunia dan segala isinya. Sebenarnya pahala amalan doa dan istighfar daripada orang yang masih hidup di dunia akan sampai kepada orang mati menurut pendapat jumhur ulama.
Demikianlah tiga amalan utama yang sewajarnya termasuk dalam senarai amalan wajib setiap Muslim yang benar-benar bertakwa kepada Allah.
Inilah persediaan sewajibnya dilakukan oleh setiap Muslim sebelum ajal maut menjemputnya. Kehidupan di dunia ini hanya sementara, sedangkan kehidupan di akhirat adalah berkekalan.
dalam kita bergembira adakah kita semua bersedia untuk ini semua..renung-renungkanlah...sebelum ajal menjemputmu perbanyakkan beramal soleh...
2 comments:
k.mie.. btl2 insaf bila baca..
takot pon ada..
ntah bila hari kita.. smuanya misteri..
y pasti hanya DIA y mgetahui...
LYA~BETUL TU YG PASTI KITA AKAN MERASAI AKHIRAT KECIL INI....MUDAHAN JALAN YG KITA LALUI NNTI BERSAMA ORG2 YG BERIMAN..AMIN..
Post a Comment